Assalamualaikum..
Salam buat semua ....sedikit sedutan ucaptama Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat..nantikan ulasan esok hari..setelah selesai perbahasan Dewan Pemuda Pas..doakan semoga muktamar kali ini membawa satu natijah yang cukup baik untuk masa depan Islam...Insyaallah..Allahuakbar..
Kearah Perteguhkan Kemenangan
Dalam aspek yang lain, kemenangan kita dalam pilihan raya sebenarnya mendesak kita untuk lebih matang dalam menguruskan kemenangan ini supaya ia tidak menjadi liabiliti kepada kita kelak.
Kematangan ini bukan hanya tentang kebolehan kita untuk melayani setiap kehendak rakyat atau memenuhi desakan rakan-rakan PR demi mengukuhkan kerjasama, tetapi juga kebolehan kita menterjemahkan pentadbiran baik mengikut prinsip-prinsip Islam.
Kita harus lebih terbuka dalam memahami maqasid al-syari’ah supaya objektif Islam itu dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan dan membentuk kefahaman yang lebih luas di kalangan rakyat. Pendekatan siyasah syar’iyyah yang diambil juga mestilah memperlihatkan keupayaan Islam merahmati alam. Para ulama’ kita perlu berfikiran terbuka untuk memberikan tafsiran-tafsiran hukum berasaskan manhaj Malizi (pendekatan Malaysia) yang kontemporari, tetapi tidak lari dari orbit al-Quran dan al-Sunnah sebagai piawaiannya.
Dewan Pemuda PAS akan mengadakan satu Seminar Pendekatan Siyasah Syar’iyyah selepas muktamar ini untuk mewujudkan panduan urus tadbir di negeri-negeri yang dikuasai PR ke arah ’baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ (negara sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan).
Kita menyeru supaya pimpinan di negeri-negeri PR memperjuangkan hak-hak, nilai-nilai dan prinsip-prinsip Islam yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri-negeri.
Dewan Pemuda PAS berjanji pada hari ini bahawa kita akan bersikap tegas sekiranya mana-mana kerajaan PR mengambil enteng tentang peranan Islam dalam pentadbirannya. Kita akan menjalankan tugas-tugas kepemudaan untuk melakukan check and balance terhadap kerajaan ke arah urus tadbir baik (good governence). Kita bersedia untuk menegur secara diplomatik dan kita juga sanggup untuk mengambil pendekatan konfran jika teguran-teguran kita tidak dilayan..
Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Selangor kerana berani menegur beberapa kepincangan kerajaan negeri baik soal hukum agama mahupun soal ketelusan pentadbiran.
Dewan Pemuda PAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memperalatkan istilah-istilah seperti siyasah syar’iyyah, maqasid al-syari’ah, fiqh al-awlawiyyat, fiqh at-taghyir, fiqh al-waqi’ dan sebagainya untuk mencapai maksud politik yang tidak diredhai Allah SWT.
Kita menolak pendekatan Machiavelisme yang berasaskan doktrin matlamat menghalalkan cara dalam pentadbiran kita. Kita juga mengesyorkan kepada pimpinan tertinggi supaya meningkatkan sistem kawalan pusat-pinggir (central-periphery) keatas Badan Perhubungan PAS negeri-negeri yang kita memerintah supaya kita dapat mewujudkan kerajaan dalam parti yang berkesan.
Kita tidak mahu pimpinan negeri diberikan kebebasan penuh atau autonomi dalam menentukan dasar-dasar pentadbiran, sehingga pimpinan Pusat tidak dihormati keputusan mereka. Jika keadaan ini berlaku, ia bukan hanya memberi kesan buruk dalam penyelarasan keputusan,tetapi mungkin boleh menjejas keberkesanan jentera PAS keseluruhannya.
Kepemimpinan Kompeten dan Bertaqwa
Dari lipatan sejarah kita pelajari politik adalah seni yang serba mungkin, kita pelajari keindahan dan kepincangannya.
Ramai tokoh-tokoh dunia yang rebah dan bangun diatas persada politik. Ramai yang percaya dalam permainan dan percaturan politik, ambillah iktibar diantara kewarakan Abu Musa al-Asyaari dengan kelicikan 'Amru bin Al–'As.
Serentak dengan anjakan minda kita dalam mengenegahkan keanjalan (murunah) Islam, kita juga memerlukan para pemimpin yang bersedia menganjak paradigmanya. Telah saya perkatakan tadi bahawa kita mesti beralih kepada pemikiran negarawan daripada pemikiran bangkangan. Kita tidak boleh berfikir seputar tentang kalangan kita sahaja atau untuk kepentingan kelompok kita sahaja, sebaliknya kita mesti mula belajar berfikir tentang rakyat seluruhnya, berfikir tentang kebajikan bangsa bukan Melayu, memberati kepentingan orang bukan Islam, menjuarai isu-isu bukan agama, prihatin terhadap orang bukan PAS, bahkan mengambil berat persoalan-persoalan antarabangsa juga.
Kita mesti meninjau sama persoalan-persoalan yang lebih besar seperti pentadbiran negara, pengurusan ekonomi awam, perancangan dasar-dasar awam dan sebagainya, yang sedang mendesak kita untuk memiliki kemahiran-kemahiran tambahan.
Ahli-ahli Pemuda mesti sentiasa memperdalami ilmu dalam pelbagai bidang, tidak terhenti dengan kemahiran agama yang menjadi fardhu 'ain sahaja, sebaliknya kemahiran keduniaan yang menjadi fardhu kifayah juga dipertingkatkan.
Anjakan ini saya serukan kepada saudara semua sebagai persediaan untuk melahirkan pimpinan yang kompeten dari sudut kebolehan pengurusan dan pentadbiran, selain memiliki syakhsiyyah yang cemerlang.
Pada hari ini, ahli-ahli PAS diperakui kerana kecemerlangan akhlak dan kebolehan agamanya, tetapi kita tidak diyakini dalam aspek keupayaan menguruskan negara. Perkara ini mesti kita bina segera kerana ia sudah menjadi suatu yang mendesak kepada PAS terutama menjelang runtuhnya hegemoni Umno/BN. Kita menyeru Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyyah (ILHAM) supaya merancang program pembangunan ahli-ahli dengan lebih tersusun, terutama dalam melahirkan tenaga-tenaga ulama’ yang kompeten dalam pentadbiran.
Dewan Pemuda PAS sendiri sudah menubuhkan Pusat Latihan Akademi Kepemimpinan Pemuda (AKP) di Kelantan bagi maksud ini. Mulai bulan hadapan, latihan-latihan intensif akan kita laksanakan kepada kepimpinan Pemuda peringkat negeri dan kawasan, dan kita berharap setiap ahli Pemuda mewajibkan diri masing-masing untuk mengikuti latihan ini. Tetapi ini tidak bermakna ahli-ahli Pemuda memadai mengikuti kursus jangka pendek yang kita sediakan, sebaliknya mereka mesti menambahkan usaha untuk terus belajar di mana sahaja untuk menguasai ilmu-ilmu baru yang boleh meningkatkan pembinaan kapasiti diri masing-masing.
Program pembangunan keupayaan kepemimpinan ini adalah amat mustahak bagi PAS kerana generasi pelapis mestilah memiliki kebolehan yang lebih tinggi daripada pemimpin yang ada hari ini. Ia bukan sekadar persiapan untuk kita mengambil alih pemerintahan negara, tetapi juga untuk memenuhi keperluan kepemimpinan pada masa depan yang lebih mencabar.
Kita mesti belajar untuk bergerak dalam satu pasukan kepimpinan yang berkesan, bukannya lagi secara individu. Kita sudah berupaya melahirkan murabithun di semua peringkat, tetapi malangnya kebolehan para murabithun untuk menjadi pemikir masih ditahap yang rendah. Kita tertunggu-tunggu pimpinan baru yang berupaya mencetuskan wawasan besar, berfikiran matang dan menjangkau jauh kehadapan. Kegagalan kita melahirkan pemimpin-pemikir (qiyadah-mufakkir) telah mengakibatkan kelesuan perjuangan kita.
Saya mencadangkan supaya pemimpin-pemimpin Pemuda yang ada supaya memulakan budaya penyelidikan melalui institusi-institusi persendirian. Lebih penting jika boleh mewujudkan pasukan pemikir dan institusi pemikir persendirian yang boleh membantu meningkatkan keupayaan kognitif kita dalam perjuangan. Kita melihat pemimpin-pemimpin besar dunia memiliki beberapa pusat kajian untuk membantu mereka menjadi pemimpin yang baik, dan tiada sebab untuk kita tidak memulakan langkah yang sama demi kecemerlangan gerakan kita.
Menilai Semula Kepemimpinan Ulama
Semasa PAS menghadapi kemelut dalam krisis kepemimpinan pada 1982, Dewan Pemuda PAS telah membawa satu gagasan baru dalam PAS iaitu Kepimpinan Ulama’ bagi meletakkan semula PAS pada landasan yang betul dan kukuh dalam pergerakan Islam di negara ini.
Hasilnya PAS telah dapat berdiri sendiri semula dan berterusan melaksanakan gerak kerja parti dengan lebih teratur serta mampu menangani politik semasa dengan hemat dan cermat. Pemimpin PAS pergi dan datang tetapi prinsip perjuangan PAS dan pendirian parti tidak berubah meskipun usia PAS dimamah usia.
Kini gagasan Kepimpinan Ulama’ yang diperkenalkan di dalam PAS sudah mencapai zaman jubli peraknya. Sepanjang 25 tahun ia dipegang kukuh oleh ahli-ahli PAS, PAS terus mencipta sejarah dengan kemenangan semula pemerintahan di Kelantan dari tahun 1990 hinggalah ke hari ini.
PAS juga dapat menangani pelbagai masalah besar dalam parti dan dalam negara apabila institusi Majlis Syura Ulama’ menjadi tempat rujukan parti. Kini perubahan zaman menuntut ulama’ supaya maju beberapa langkah lagi untuk memastikan peranan mereka lebih berkesan dan lebih relevan dalam dunia kontemporari.
Ulama’ juga perlu lebih proaktif dalam meneliti fenomena masa kini, menangani kerencaman isu dan masalah moden, serta memimpin perubahan dalam masyarakat masa kini.
Dewan Pemuda PAS tidak mahu melihat ulama’ berada dalam zon selesa dalam gagasan Kepimpinan Ulama’, sehingga sebahagian ulama’ mengambil sikap reaktif kepada isu atau fenomena yang berlaku dan tidak membuat persediaan lebih rapi untuk menangani perkara mendatang.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan satu Seminar Kepimpinan Ulama’: Satu Penilaian Semula. Antara lain tujuan seminar ini ialah untuk melihat semula dari pelbagai aspek dalam meneliti keberkesanan gagasan Kepimpinan Ulama’ dalam PAS sepanjang 25 Tahun ini.
Peningkatan Fungsi di Parlimen
PAS pada hari ini mempunyai 22 orang ahli Dewan Rakyat dan tiga orang ahli Dewan Negara. Di kalangan pemimpin Dewan Pemuda PAS sendiri, beberapa orang sudah bergelar Yang Berhormat.
Ini bermakna kita mempunyai satu lagi peranan iaitu sebagai pembangkang yang berkesan di negara ini. Berkesan bukan bermaksud membangkang segalanya atau sentiasa ’membuat bising’ untuk menggugat kerajaan yang ada. Tetapi pembangkang yang berkesan ialah apabila kita boleh menjadi pembangkang berwibawa dan pembangkang taat, yang bersedia duduk semeja dengan kerajaan untuk kepentingan rakyat dan kita sanggup memberikan konsensus untuk kepentingan negara. Walaupun kita masih bergelar pembangkang di Parlimen, kita mesti meningkatkan peranan kita supaya rakyat melihat tawaran-tawaran kita untuk mengganti BN sebagai munasabah.
Isu-isu yang kita ketengahkan dalam manifesto, walaupun tidak dapat dilaksanakan, tetapi ia mesti dibawa ke Parlimen supaya kesengsaraan rakyat dapat kita suarakan sesuai dengan kehadiran kita kerana makkal sakti (kuasa rakyat).
Sebagai pembangkang yang berkesan, kita mestilah mampu mengemukakan alternatif berwibawa kepada kuasa majoriti (kerajaan), tidak sekadar mengkritik kerajaan, tetapi juga bekerja ke arah ketelusan, integriti dan kecekapan dalam mengendalikan hal ehwal rakyat, menangani penyalahgunaan kuasa dan memastikan kepentingan rakyat dipertahan, selain terlibat dalam mempromosikan hak asasi manusia, dan membantu menyempurnakan fungsi-fungsi demokrasi.
PAS boleh menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat dan kerajaan BN, memainkan peranan untuk memastikan kerajaan BN bertindak mengikut kehendak rakyat, membongkarkan penyelewengan kerajaan BN serta menawarkan program alternatif yang lebih baik.
Kita harus sedar bahawa PAS bersama PR pada masa ini adalah kerajaan alternatif kepada BN, bukannya pembangkang pinggiran, dengan maksud kita harus memperlihatkan kepada rakyat kewibawaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban kita sebagai kerajaan menunggu.
Ahli-ahli Parlimen PAS tidak boleh memencilkan diri kerana mereka adalah pembuat undang-undang (legislature) yang sah, maka peranan yang lebih besar perlu dimainkan untukmemastikan setiap undang-undang memberikan kesan positif kepada rakyat. Selain di Parlimen, wakil rakyat kita juga mesti aktif dalam masyarakat sivil terutama dalam membina hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan, media massa dan juga pentadbir awam, kerana mereka adalah penghubung antara PAS dengan rakyat.
Saya mengenengahkan persoalan ini adalah kerana kita tidak mahu lagi dianggap sebagai 'partisan politics' yang membawa implikasi negatif terhadap potensi kita, sebaliknya kita mahu diiktiraf oleh kerajaan sebagai 'His Majesty’s Opposition’, dan diperakui oleh rakyat sebagai alternatif yang berwibawa.